HANSI Flick dipecat sebagai ketua jurulatih Jerman berikutan kekalahan 1-4 dalam perlawanan persahabatan kepada Jepun, semalam.

Bekas jurulatih Bayern Munich itu hanya menang 12 daripada 25 perlawanan sepanjang mengemudi pasukan kebangsaan selepas pelantikannya pada Ogos 2021.

Jerman akan menjadi tuan rumah Kejohanan Euro 2024 akan datang tetapi mempamerkan prestasi makin tidak menentu di bawah Flick yang menyaksikan mereka terkandas dua kali berturut-turut di peringkat kumpulan termasuk Piala Dunia di Qatar selain merakamkan hanya tiga kemenangan dalam tempoh 12 bulan lalu.

Jurulatih berusia 58 tahun itu, yang menggantikan juara Piala Dunia Joachim Low yang berundur sejurus Euro 2020, menjadi individu pertama yang dipecat sebagai jurulatih Jerman.

Rudi Voller akan bertindak mengendali skuad untuk perlawanan persahabatan menentang Perancis di Dortmund pada awal pagi Rabu ini.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf, berkata dalam satu kenyataan: “Jawatankuasa bersetuju bahawa pasukan kebangsaan senior lelaki memerlukan dorongan baharu selepas keputusan mengecewakan baru-baru ini.

“Kami memerlukan - sempena Euro - semangat optimis dan keyakinan terhadap keupayaan negara sendiri.

“Bagi saya secara peribadi, ia adalah salah satu keputusan paling sukar ketika saya memegang jawatan ini setakat ini kerana saya menghargai Hansi Flick dan penolong jurulatihnya sebagai pakar bola sepak dan insan.

“Tetapi kejayaan sukan adalah keutamaan bagi DFB. Jadi keputusan ini tidak dapat dielakkan.”

Voller yang mengambil alih tugasan turut itu buat sementara waktu turut memegang peranan pengarah pasukan kebangsaan menambah: “Hansi Flick berhempas-pulas sejak beberapa bulan lalu bersama pasukan bimbingannya dan mencurahkan segala-galanya untuk kembali ke landasan yang betul selepas Piala Dunia di Qatar untuk mengubah situasi menjadi lebih baik.

“Malangnya, hari ini kami perlu sedar bahawa ia tidak berjaya.

"Perlawanan dengan Jepun telah menjadi bukti jelas bahawa kami tidak lagi boleh mencapai sebarang kemajuan dalam situasi ini.”